24 November 2010.
Taman Universiti, Skudai.
04:03 petang.
Sedang agak sibuk berhempas-pulas dengan timbunan data-data Sistem Maklumat Murid (SMM) bagi murid-murid Tahun 1 2011. Namun, fikiran ni tetap melayang kepada wajah abah; insan yang disayangi.
Jika sebelum ni, tarikh-tarikh di kalendar dihitung untuk menantikan tarikh kepulangan Mak + Abah dari Kota Suci Mekah, namun bermula tanggal 6 November 2010, tarikh-tarikh tersebut dihitung dengan cara yang berbeza - menandakan bilangan hari Mak tersayang menjadi tetamu Allah di alam barzakh.
Lambaian terakhir arwah Mak di Kelana Jaya.. buat selama-lamanya.
Maaf ya kawan-kawan, kerana sejak akhir-akhir ini status di Facebook sering bernada sedih dan sayu. Seperti yang ditintakan oleh kakakku dalam blognya; mana mungkin mahu bernada seronok dek kehilangan insan yang paling tersayang di muka bumi ini.
Tak tau mengapa, tangan ini lantas mencapai keyboard laptop seraya menitipkan bingkisan nota ini. Rasa rindu terhadap Mak sudah pastinya membungkam dari hari ke hari. Akan ku rindui sekuntum senyuman arwah Mak - terapi kepada semua masalah yang dihadapi; baik di rumah mahupun di tempat kerja.
Syukur Ya Allah, dugaan ini memang perit. Diri ini redha'. Walaupun tak pernah terlintas bahawa kehilangan Mak tersayang akan berlaku sepantas ini. Tipu lah kalau aku katakan aku ini sudah tenang dan kuat untuk hadapi semua ini. Rajuk dan sayu dalam hati hanya Allah yang tahu.
Apepun, misi ketika ini sudah nyata. Hanya bingkisan Al-Fatihah & ayat-ayat suci Al-Quran mengiringi pemergian Mak tersayang di bumi Kota Suci Mekah. Terukir senyuman kecil dibibir tatkala mengingati jenazah Mak tersayang disembahyangkan di Masjidil Haram dikala hening solat Subuh. Yang pasti - berdepanan Kaabah. Syukur Ya Allah.. Aku pasrah.
Syukur Ya Allah atas pinjaman-Mu selama 26 tahun ini - seorang Mak yang penyayang, baik dan segala-galanya yang terbaik buatnya.
... Mak, ajam rindu kat Mak.
Al-Fatihah buat arwah Mak tersayang,
Allahyarhamah Zainab bt. Mahyuddin,
kembali ke pangkuan Ilahi pada 06 November 2010 (Sabtu),
jam 06:00 petang (waktu Makkah).