Sunday, June 24, 2012

Pengalaman di Tanah Suci: Bahagian IV – Madinah Al-Munawwarah.

Setelah hampir 6 hari di bumi Makkah, kini tibalah masa untuk kami bertolak ke bumi Madinah bagi melengkapkan ziarah kami. Ketibaan kami di Madinah disambut dengan keindahan Masjidil Nabawi pada jam 11 malam. Sebaik tiba di Masjidil Nabawi, kami melakukan solat Isyak. Setelah itu, kami terus bergerak di hadapan kubah Hijau dan memberi salam kepada Rasulullah SAW. “Assalammualaika Ya Rasulullah..”. Cukup sayu dan hiba apabila memikirkan bahawa salam kami itu dijawab terus oleh Rasulullah. Syukur. Setelah itu, mutawwif membawa kami ke kawasan Raudhah – taman syurga di dalam Masjidil Nabawi. Dengan izin Allah, kami dapat bersembahyang dan berdoa di dalam kawasan Raudhah dengan mudah. Cukup tenang dan damai di kawasan Raudhah. Karpet hijau menghiasi kawasan Raudhah membangkitkan rasa keterujaan dalam setiap diri umat Muhammad SAW. Seperti di Makkah, setiap kali selesai solat fardhu lazimnya akan disusuli dengan solat jenazah. Inilah uniknya di bumi suci – fardhu kifayah yang jarang-jarang berlaku di Malaysia, tapi berlaku saban hari di bumi suci!. Alangkah beruntungnya anak-anak kecil di tanah Arab apabila berpeluang melakukan solat jenazah seawal usia kecil lagi. Setiap saat, segenap pelosok Masjidil Nabawi tidak pernah sunyi. Pasti ada yang sedang berzikir, membaca Al-Quran, berusrah dan beriktikaf. Indahnya momen itu!.

20120607_000810

Pertama kali tiba di perkarangan Masjidil Nabawi, Madinah (6 Jun 2012, 11 PM)

20120607_002357

“Assalammualaika Ya Rasulullah..” AlHamdulillah, teruja rasa apabila dapat mengucapkan salam secara langsung kepada Rasulullah SAW. Untuk pengetahuan, Rasul kita berada di bawah kubah yang berwarna hijau. Cukup puas, sebab selama ni hanya mengirimkan salam kepada Rasulullah melalui orang-orang yang ke Madinah. Kini diri sendiri berpeluang memberi salam dan menyampaikan salam rakan-rakan kepada Rasulullah. Syukur Ya Allah!

20120607_202744

Antara aktiviti biasa selepas solat di Masjidil Nabawi – Usrah

20120607_070621

Suasana pagi di Masjidil Nabawi – Kelopak payung telah mekar dengan cantik!

20120608_170447

‘Melontar’ membeli kurma dan coklat di Toko No. 95: Makasih ya pak!

20120607_073931

Suasana di Raudhah – Taman Syurga. Indah dan tenang

20120607_071855

Pintu-pintu masuk di Masjidil Nabawi. Masjidil Nabawi sejuk sepanjang masa, memandangkan di setiap tiang-tiang terdapat penghawa dingin. Nyaman.

20120609_193931

AlHamdulillah, Al-Quran yang telah diwakafkan di Masjidil Nabawi

Ziarah kami di Madinah turut diserikan dengan ziarah ke Masjid Quba dan Jabal Uhud. Pelbagai sirah Nabi junjungan dapat disingkap dan diambil iktibar apabila berkunjung ke bumi kekasihNya ini. Seperti perasaan sayu dan sebak semasa melakukan tawaf wida’ di Makkah, begitulah juga rasanya ketika diri ini melakukan ziarah wida’ sebagai simbolik mengucapkan selamat tinggal kepada Rasulullah di Subuh terakhir di Madinah. Mudah-mudahan ziarah kali ini bukanlah ziarah terakhir kami. InshaAllah. Kepada muda-mudi sekalian, ayuh segera ke Tanah Suci!. Penduduk Makkah dan Madinah menanti kedatangan kita!.

20120609_065821

Bergambar di kawasan Masjid Quba – tempat di mana arwah Mak pernah mengambil gambar di hari-hari terakhir hayatnya.  Kakyong (kakak) juga pernah mengambil gambar di sini semasa Umrahnya April 2011

Untitled

Recap: Arwah Mak (2010) & Kakyong (April 2011) di Masjid Quba

20120609_075302

Bergambar kenangan bersama kumpulan Umrah serta mutawwif di Jabal Uhud

20120610_155139

20120610_133032

20120610_155846

Selamat tinggal bumi suci! Mudah-mudahan ini bukan ziarah terakhir kami,
Ya Allah

Friday, June 22, 2012

Pengalaman di Tanah Suci: Bahagian III – Ziarah ke Pusara Mak Tercinta @ Ash Sharaya, Makkah Al-Mukarramah

Ziarah kami ke pusara Mak pada petang selepas Asar hari pertama kami tiba di Makkah tersebut cukup menyentuh kalbu. Pintu gerbang di kawasan perkuburan Ash Sharaya yang terbuka luas seolah-olah menggamit kedatangan kami. Untuk pengetahuan para pembaca, Mak saya telah meninggal dunia semasa masih dalam ihram Haji pada tanggal 6 November 2010 yang lalu. Saat itu, hanya Allah yang tahu bagaimana peritnya rasa menerima perkhabaran dari Makkah yang menyatakan Mak tersayang telah pun pergi buat selama-lamanya. Perkuburan Ash Sharaya ini terletak lebih kurang 15 kilometer dari Masjidil Haram, namun ia masih dalam Tanah Haram. Setakat ini ia menempatkan hampir 40 blok perkuburan dan Ibu saya ditempatkan di blok perkuburan ke-35. Di Arab Saudi, hanya lelaki sahaja yang dibenarkan masuk ke kawasan perkuburan. Perempuan adalah dilarang sama sekali untuk masuk, apatahlagi untuk memijak tanah di kawasan perkuburan. Perempuan hanya dibenarkan duduk menunggu di dalam van.

20120531_165727

Pintu gerbang di Perkuburan Ash Sharaya terbuka luas seolah-olah Mak sedang melambai-lambai kat dalam tu menanti kedatangan kami.. Allahuakbar..

20120531_170121

Semakin menghampiri blok kubur Mak

Kubur-kubur di sini tidak seperti di Malaysia. Ia hanya bertandakan batu putih tanpa nama. Namun, mereka mempunyai sistem berkomputer yang sistematik dan membolehkan waris mengenalpasti lokasi kubur dengan memasukkan nama dan tarikh kematian si mati. Lebih meyakinkan apabila Abah saya memang mengingati lokasi liang lahad Mak saya memandangkan Abah berpeluang mengikut jenazah Mak semasa pengebumian dijalankan di sini. Syukur!

20120531_170245

Dah sampai – Blok 35, Perkuburan Ash Sharaya, Makkah

20120531_170813

“Assalammualaikum Mak, kami datang ni Mak… Firah pun datang, tapi Firah tak boleh masuk.. Firah ade kat luar tu”

20120531_173807

AlHamdulillah, Allah permudahkan urusan kami ke sini menjejaki kubur Mak

20120601_173221

Ziarah ke kubur Mak kali ke-2: Dibantu oleh Kak Gee Harun & Abang Nazrall yang sangat baik hati. Syukur! Mak kepada Kak Gee Harun pun meninggal dunia di Mekah 11 tahun yang lalu. Kak Gee lah tempat saya selalu berkongsi rasa sebelum saya mampu menjejakkan kaki ke sini. Allah pertemukan kami buat kali pertama di Makkah Al-Mukarramah. Walaupun boleh bertemu di Malaysia, tapi inilah yang dinamakan kuasa Allah.

20120601_180444

Abah, abang, adik dan ‘Mak’

20120601_180555

Abah dan ‘Mak’

20120605_075421

Ziarah terakhir (kali ke-4) untuk sesi Umrah kali ini – Saya dapat mencucurkan air ke pusara Mak tersayang. AlHamdulillah, puas rasa. Dapat baca Yaasin dan Tahlil di tepi kubur Mak sendiri. Selama hampir 1 tahun 6 bulan ni hanya ‘ziarah’ melalui Google Maps dan wikimapia sahaja dengan bantuan talian internet dan laptop

Syukur padaMu Ya Allah, akhirnya saya dan adik-beradik beserta Abah dapat menziarahi pusara Mak tercinta. Al-Hamdulillah. Sepanjang kami di Tanah Suci, Allah telah memudahkan kami menziarahi kubur Mak kami sebanyak 4 kali. Syukur. InshaAllah, ada rezeki pasti kami akan bertandang lagi. Rindu yang tak terubat. Al-Fatihah.

20120605_080005

“Selamat tinggal Mak.. InshaAllah ada rezeki kami akan datang lagi…”

Pengalaman di Tanah Suci: Bahagian II – Umrah @ Haram.

Selepas berniat, kami melakukan tawaf umrah sebanyak 7 pusingan. Ribuan umat manusia turut melakukan tawaf. Pelbagai keletah dan kerenah jemaah-jemaah asing dapat dilihat. Ada yang bersuara lantang mengalunkan zikir, ada yang berkerusi roda dan ada yang bertongkat. Cuaca panas yang terik tidak memadamkan semangat untuk terus menghabiskan pusingan tawaf. Setelah selesai, saya melakukan solat sunat tawaf di depan multazam. Diri terasa kerdil tatkala berpeluang berdoa dengan jarak kurang dari 5 meter di depan Kaabah. Sebelum melakukan Sai’e (Rukun ke-2 Umrah: Berlari-lari anak dari bukit Safa ke Marwah), anak tekak dibasahkan dengan air zam-zam yang sentiasa terdapat di sekitar Masjidil Haram. Rasa air zam-zam di sini sungguh enak jika dibandingkan dengan rasa air zam-zam yang telah dibawa pulang ke tanah air. Sai’e amat mencabar kekuatan fizikal terutama ketika proses melunaskannya menjengah ke pertengahan perjalanan. Tumit kaki mula berasa sakit, namun tetap seronok apabila beramai-ramai berjalan berulang-alik dari Safa dan Marwah. Sesekali gemaan zikir daripada jemaah Bangladesh dan Indonesia secara berkumpulan memecah keheningan kawasan Sai’e. Meriah!. Setelah selesai Sai’e, kami pun bertahalul (bercukur). Rasa puas apabila dapat membotakkan kepala sebagai tanda bersyukur diterima sebagai tetamuNya. Selain itu, antara pengalaman berharga dan unik di sini ialah saya dapat bersama-sama melakukan solat jenazah setiap kali selepas solat fardhu. Boleh dikatakan setiap kali selepas selesai solat fardhu, imam akan memberikan isyarat bahawa ada jenazah yang akan disembahyangkan.

20120602_103749

Rasa teruja setiap kali kaki mencecah ke lantai Dataran Haram

20120602_121700

Sai’e di bawah tanah – sejuk dan nyaman

20120602_132337

Selesai bertahalul – membotakkan kepala

20120605_095426

AlHamdulillah, selesai Umrah

20120602_034801

Jenazah diusung masuk ke dalam Masjidil Haram

20120604_044243

Usai solat jenazah di Dataran Haram

20120603_071020

20120603_072004

Bermiqat semasa Umrah kali ke-2

 

Pengalaman di Tanah Suci: Bahagian I – Dari Bota ke Makkah Al-Mukarramah.

Labbaik Allah humma labbaik.. Labbaik la sharika laka labbaik.. Innal hamda, Wan-ni'mata Laka walmulk.. Laa sharika lak

Gemaan talbiah yang dialunkan oleh sejumlah 29 orang peserta kumpulan Umrah termasuk diri ini mengundang rasa sayu sewaktu bas yang dinaiki mula memasuki ke Kota Makkah. Rasa sayu tersebut semakin kuat membungkam tatkala diri lengkap diselubungi pakaian ihram – putih dan suci. Syukur padaMu Ya Allah, diri ini telah terpilih dan berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci bersama ahli keluarga yang lain pada 30 Mei sehingga 11 Jun 2012 baru-baru ini. Pengalaman pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci, terutama dalam usia muda sudah pasti menggamit seribu macam memori indah yang bakal dibingkiskan kelak. Tambahan pula, kembara julung saya dan ahli keluarga ke Tanah Suci kali ini turut membawa misi nan satu – menziarahi pusara bonda tercinta yang telah selamat bersemadi sejak 1 tahun 6 bulan yang lalu di bumi Makkah Al-Mukarramah. Keberangkatan kami ke Tanah Suci diiringi oleh sanak saudara dan sahabat handai pada petang 30 Mei di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Setelah menjamakkan solat Maghrib dan Isyak, kami berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi dengan menaiki pesawat Etihad Airways. Di sana, kami transit hampir 2 jam. Masa yang ada ini digunakan untuk menyalin pakaian ihram dan melakukan solat sunat Ihram. Setelah itu, dengan bimbingan mutawwif dari Tiram Travels & Tours, kami berniat ihram semasa di dalam perut kapal terbang sewaktu kapal terbang menghampiri bumi Jeddah. Maka, dengan itu, termaktublah segala 13 perkara pantang larang sewaktu berihram ke atas kami.

20120531_043752

Menyalin pakaian Ihram di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi 

Sewaktu di Jeddah, kami ditempatkan di Terminal Haji, Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah. Kawalan keselamatan dan imigresen di sana agak ketat, namun tetap berjalan lancar. Di situlah juga buat pertama kali saya merasai keenakan air jus buah-buahan negara Arab bagi menghilangkan dahaga. Di situ jugalah kali pertama saya melakukan transaksi bayaran menggunakan matawang Saudi Arabia Riyal (SAR). Tepat pada jam 5.30 pagi, kami bertolak ke Makkah dengan menaiki bas. Sewaktu dalam perjalanan, saya hanya melayan perasaan dan menikmati pemandangan melalui tingkap bas. Indahnya bumi suci ini, walaupun bangunan-bangunannya tidaklah begitu moden seperti yang ada di negara kita, namun tetap terbit ketenangan yang tersendiri pada pandangan sudut mata. Paling mencuit hati apabila melihat kereta Toyota Camry dan Innova digunakan sebagai teksi di sini. Subhanallah. Bunyi hon kereta seolah-olah seperti alunan muzik yang sudah sebati dengan kehidupan para pengguna jalan rayanya.

20120531_182524

Al-Hamdulillah, dah sampai Mekah!

Kami tiba di Makkah tepat jam 9.30 pagi. Pengalaman pertama memijakkan kedua-dua tapak kaki ini di atas tanah bumi Makkah dari mulut pintu bas mengungkap kenangan manis peribadi yang tersendiri. AlHamdulillah. Cuaca di Makkah pada ketika itu amat panas. Deretan-deretan kedai yang menghiasi pinggir bahu jalan memeriahkan suasana. Para peniaga Arab yang ramah sentiasa memanggil-manggil para pelanggan. Ada juga yang berbahasa Melayu. Walaupun tidak begitu fasih, namun masing-masing mempunyai cara tersendiri memancing pelanggan - “Haji.. Haji... Laykhat dholu! (Haji, haji.. Lihat dulu!!)”.

20120601_073913

Deretan kedai-kedai di laluan sepanjang dari hotel ke Haram

Setelah mendaftar masuk bilik di Hotel Barakah Al-Mawaddah dan bersarapan pagi, kami bersiap sedia untuk melakukan Umrah. Dari lobi hotel, kami bertalbiah sehinggalah tiba ke pintu bernombor 10 di Masjidil Haram – pintu Ismail (Bab Ismail). Di pintu tersebut, kami diarahkan oleh mutawwif untuk memasukkan selipar ke dalam beg plastik sebelum melangkah masuk ke Masjidil Haram. Seorang anggota polis dan seorang penjaga ditempatkan di setiap pintu masuk Masjidil Haram. Jutaan manusia telah memenuhi kawasan dataran Haram pada ketika itu. Masing-masing berpusu-pusu untuk berpesta ibadah di Masjidil Haram. Dari celah-celah penjuru pintu tersebut, tersergam indah sebuah binaan yang menjadi idaman kedua-dua anak mata ini untuk melihatnya sendiri – Kaabah. AlHamdulillah, syukur padaMu Ya Allah. Pandangan pertama melihat Kaabah cukup menginsafkan dan mengujakan. Jika dahulu diri ini hanya melihatnya di atas sejadah dan di televisyen, namun sekarang – nah, di depan mata!. Syukur.

20120601_075956

Suasana Haram di waktu pagi

20120601_160624

Indahnya Kaabah!