Tuesday, November 30, 2010

Ash Sharaya: Pusara Mak ---;<@

Image0055

Gambar yang diambil dari handphone abah. Lokasi menunjukkan pusara Mak tersayang disemadikan di perkuburan Ash Sharaya, Kota Suci Mekah.

Hari ni dah masuk hari ke-24 arwah Mak tersayang kembali ke pangkuan Ilahi. Sayu hati masih terasa, ibarat baru semalam menerima panggilan dari abah dari Kota Suci Mekah mengkhabarkan berita pemergian Mak. Kala ini hanya gambar-gambar terakhir arwah Mak di sana menjadi pengubat rindu. Syukur Ya Allah, cinta Mak dan Abah kekal ke akhir hayat. Setelah 33 tahun bersama, hanya ajal yang memisahkan Mak dan abah. Terima kasih Ya Allah atas pinjamanMu, seorang Mak yang penyayang dan terbaik di mata serta hati ini.

InsyaAllah Mak, satu hari nanti Ajam berazam mahu ke bumi suci Mekah. Nak ‘lawat’ Mak di sana. Hati meronta-ronta mahu ke sana. Nak bawa abah, Kakyong, Lope, Amir, Apar dan Pirah pergi sekali. Mak tunggu Ajam, ya!. Ajam rindu.

Monday, November 29, 2010

Abah is with us now, Mak is with Allah.

154845_1754942357374_1353399681_31989646_3499389_n

My lovely father – the beloved husband of arwah Mak

Al-Hamdulillah, abah dah selamat sampai dari Jeddah dan mendarat di airport Senai 2 hari lepas. Syukur, segala-galanya dipermudahkan oleh Allah SWT. Abah dapat pulang awal dan dapat mendarat di airport Senai. Kebetulan kami semua adik-beradik sedang berkumpul di rumah kakak sulung (Kakyong) di Taman Universiti, Skudai Johor.

Sayu melihat kelibat abah yang berseorangan berjalan menolak troli bagasi arwah mak keluar dari balai ketibaan. Luluh hati ni melihat air mata abah berderai membelah keheningan pagi. Aku pasrah Ya Allah, aku redha’. Hanya ciuman beg bagasi arwah Mak menjadi pengubat rindu. Juga pakaian terakhir arwah yang dipakai ketika saat mengadap Ilahi.

Cuma satu yang aku harap agar abah akan terus kuat semangat. Titisan air mata yang keluar dari mata abah bagaikan halilintar buat diri ini.

Abah kena kuat ye bah.. Kuat bah.. Mak pun tak nak kita sedih macam ni bah..”

Memang perit dugaan ini. Hanya yang melaluinya dan sedang melaluinya saja yang tahu bagaimana bentuk perasaan nya itu. Usah bicara tentang soal “Sabar ye, aku memahami kehilangan tersebut” andai belum pernah melaluinya sendiri..

Mudah-mudahan dipermudahkan pertemuan kembali kami sekeluarga bersama arwah ibunda tercinta di pertemuan yang kekal abadi - di Jannah.

… burst into tears*

Wednesday, November 24, 2010

Dari Makkah ke Barzakh.

24 November 2010.

Taman Universiti, Skudai.
04:03 petang.

Sedang agak sibuk berhempas-pulas dengan timbunan data-data Sistem Maklumat Murid (SMM) bagi murid-murid Tahun 1 2011. Namun, fikiran ni tetap melayang kepada wajah abah; insan yang disayangi.

Jika sebelum ni, tarikh-tarikh di kalendar dihitung untuk menantikan tarikh kepulangan Mak + Abah dari Kota Suci Mekah, namun bermula tanggal 6 November 2010, tarikh-tarikh tersebut dihitung dengan cara yang berbeza - menandakan bilangan hari Mak tersayang menjadi tetamu Allah di alam barzakh.

mak

Lambaian terakhir arwah Mak di Kelana Jaya.. buat selama-lamanya.

Maaf ya kawan-kawan, kerana sejak akhir-akhir ini status di Facebook sering bernada sedih dan sayu. Seperti yang ditintakan oleh kakakku dalam blognya; mana mungkin mahu bernada seronok dek kehilangan insan yang paling tersayang di muka bumi ini.

Tak tau mengapa, tangan ini lantas mencapai keyboard laptop seraya menitipkan bingkisan nota ini. Rasa rindu terhadap Mak sudah pastinya membungkam dari hari ke hari. Akan ku rindui sekuntum senyuman arwah Mak - terapi kepada semua masalah yang dihadapi; baik di rumah mahupun di tempat kerja.

Syukur Ya Allah, dugaan ini memang perit. Diri ini redha'. Walaupun tak pernah terlintas bahawa kehilangan  Mak tersayang akan berlaku sepantas ini. Tipu lah kalau aku katakan aku ini sudah tenang dan kuat untuk hadapi semua ini. Rajuk dan sayu dalam hati hanya Allah yang tahu.

Apepun, misi ketika ini sudah nyata. Hanya bingkisan Al-Fatihah & ayat-ayat suci Al-Quran mengiringi pemergian Mak tersayang di bumi Kota Suci Mekah. Terukir senyuman kecil dibibir tatkala mengingati jenazah Mak tersayang disembahyangkan di Masjidil Haram dikala hening solat Subuh. Yang pasti - berdepanan Kaabah. Syukur Ya Allah.. Aku pasrah.

Syukur Ya Allah atas pinjaman-Mu selama 26 tahun ini - seorang Mak yang penyayang, baik dan segala-galanya yang terbaik buatnya.

... Mak, ajam rindu kat Mak.

Al-Fatihah buat arwah Mak tersayang,
Allahyarhamah Zainab bt. Mahyuddin,
kembali ke pangkuan Ilahi pada 06 November 2010 (Sabtu),
jam 06:00 petang (waktu Makkah).